Berita oleh : Qisan

Gabungan Persatuan Penduduk U10 yang diketuai oleh Sdr Adnan Kadir telah berjaya mendapat perhatian pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Bahagian Pembangunan untuk mengadakan satu perjumpaan khas bagi membincangkan isu pembinaan sekolah di Seksyen U10, Shah Alam.
Mesyuarat yang diketuai oleh Tuan Haji Nazirruddin bin Abd. Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) telah diadakan pada hari ini, 12 Mei 2011 jam 9 pagi di aras 7, Komplek E8, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Taman Alam Budiman diwakili oleh Sdr Qisan dan Sdr Nasri yang merupakan orang lama bersama Sdr Adnan Kadir (Sandaran Permai) yang telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2006 lagi selain daripada 2 orang lagi wakil dari GPU10.
Tuan TKSU telah memaklumkan bahawa terdapat 3 tapak cadangan yang telah dikemukakan sejak dahulu lagi dan pihak kementerian telah memutuskan untuk membina sekolah di tapak 2 (Sunway Alam Suria) dan tapak 3 (Cahaya SPK).
Untuk makluman, budget awal yang telah diluluskan hanya cukup untuk membina sebuah sekolah yg berkapasiti kecil dan dengan kerjasama yang amat erat dari pihak pemaju Cahaya SPK, maka tapak 3 telah dipilih untuk membina sebuah sekolah yang mempunyai 18 buah kelas. Surat tawaran telahpun dikeluarkan kepada kontraktor dan akan dimulakan secepat mungkin.
Namun begitu, kami difahamkan, terdapat bantahan daripada penduduk sekitar tapak tersebut dimana mereka mahu pihak kementerian merendahkan tingkat bangunan daripada 4 tingkat kepada 2 tingkat atas sebab menghalang pandangan mereka untuk menikmati pemandangan yang indah di Cahaya SPK.
Sdr Adnan yang mewakili GPU10 juga telah menyatakan pendapat berhubung masalah yang bakal dihadapi oleh penduduk sekitar apabila sekolah di tapak 3 ini siap kelak. Faktor-faktor seperti laluan masuk dari B49 yang kurang sesuai selain daripada kapasiti penduduk yang tinggal berhampiran sekolah tersebut (Cahaya SPK) tidaklah seramai penduduk yang tinggal di luar Cahaya SPK.
Atas faktor tersebut, pihak kementerian telah memberikan komitmen akan cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses yang berkaitan bagi membina sebuah sekolah yang berkapasiti 24 buah di tapak 2 ( Sunway Alam Suria ). " Kalau boleh kami mahu pembinaan sekolah dikedua-dua tapak ini dapat dimulakan pada tahun ini juga. " kata TKSU mengakhiri perjumpaan kami pada pagi tadi.