Ramadhan datang lagi pada tahun ini dan disambut dengan gembira oleh warga Taman Alam Budiman. Persiapan yang telah dibuat sejak sebulan yang lepas oleh JK Surau Raudhotul Firdaus bersama ABRA dan juga warga AB telah menjadikan Ramadhan pada tahun ini amat meriah sekali.
Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahhi kerana telah memberikan kesempatan kepada kita semua untuk sama-sama bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini.
Sebuah balai serbaguna telah siap dan berfungsi sepenuhnya pada hari ini, kawasan mengambil wuduk yang telah ditambah dan juga ruang solat / keraian untuk muslimat juga telah siap untuk digunakan pada Ramadhan kali ini. Semua itu adalah hasil dari sumbangan warga AB dan juga mereka yang prihatin dengan keperluan penduduk Taman Alam Budiman.
Tarawikh pertama telah selamat didirikan pada malam tadi bersama dengan lebih 500 orang warga AB dan telah diimamkan oleh Sdr Mohd Hamizan Mohd Isa iaitu seorang tahfiz jemputan. Seluruh lantai Surau RF telah dipenuhi oleh para jemaah termasuklah dikaki lima Surau. Tazkirah pertama yang telah disampaikan oleh Uztaz Najahuddin amat bermakna sekali sebagai panduan dan renungan buat kita semua tatkala bermulanya Ramadhan ini. "Sesungguhnya, Ramadhan adalah bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam dan bukan bulan yang melemahkan kita semua", pesan ustaz tadi.
Semoga keadaan ini berkekalan hingga ke hujung Ramadhan. Semoga warga AB dapat menjadikan bulan ini sebagai satu bulan yang penuh dengan ibadah disamping mengeratkan silaturrahim sesama jiran.
