In order to view this page you need Flash Player 9+ support!

Get Adobe Flash player

HomeBeritaBerita Umum3 jam curi 3 rumah

3 jam curi 3 rumah

 

Harian Metro - 19 Ogos 2009

SHAH ALAM: Sekumpulan penyamun memecah masuk tiga rumah ketika penghuninya tidak ada di rumah antara jam 2 petang dan 5 petang membabitkan kerugian lebih RM20,000 di Pangsapuri Anggerik, Jalan Sungai Limau, Seksyen 26 di sini kelmarin.

Difahamkan kejadian pertama berlaku di tingkat lapan blok 2 di pangsapuri terbabit sebelum suspek pecah masuk sebuah rumah di tingkat satu dan melarikan barang berharga membabitkan kerugian hampir RM14,000.

Sejurus kemudian penyamun dipercayai terdiri daripada tiga hingga empat orang berusia 20-an sekali lagi memecah masuk sebuah rumah di tingkat dua blok 1, sebelum melarikan sebuah televisyen plasma 42 inci serta beberapa barang lain.

Seorang mangsa, Siti Aisyah Mohd Kamal, 24, mendakwa kejadian itu disedarinya selepas pulang dari tempat kerja kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

 

“Saya curiga selepas melihat pintu depan terdapat kesan umpil, bagaimanapun sebaik melangkah masuk, saya tergamam apabila melihat rumah dalam keadaan berselerak dengan kesan geledah.

“Saya bergegas masuk ke dalam bilik dan selepas itu hanya mampu menangis apabila cincin dan rantai pemberian keluarga saya lesap,” katanya.

Menurutnya, rumah itu disewa bersama empat lagi rakan sekerja sejak 4 Julai lalu selepas ditawarkan pekerjaan sebagai pelatih eksekutif Proton.

“Kami kemudian memeriksa di dalam rumah dan antara barang hilang ialah, dua komputer riba, barang kemas, Ipod dan satu telefon bimbit dan kerugain dianggarkan lebih RM14,000.

“Kami turut menemui sebilah pisau pemotong daging dipercayai ditinggalkan penjenayah dan ia kemudian diambil polis untuk dianalisis,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri berkenaan, Mohd Zamri Md Yusoff, berkata kejadian itu bukan kali pertama berlaku di pangsapuri berkenaan dan dari awal tahun hingga kini lebih 15 kes membabitkan kejadian samun pada siang hari.

“Tapi kejadian yang berlaku kelmarin kemuncak apabila tiga rumah dipecah masuk hampir serentak dan ia sesuatu yang luar biasa.

“Kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya penduduk bekerjasama dengan persatuan termasuk menjelaskan yuran untuk kami mengupah pengawal keselamatan, bagaimanapun disebabkan sikap penduduk yang enggan bekerjasama menyebabkan masalah kecurian berlaku,” katanya.

 
Free business joomla templates